Amaran!

Blog ini sekadar catatan biasa2, jadi ayat2nya juga biasa2. Jangan tersinggung jika ayat yg digunakan bukan ayat sastera. Harap maklum.

Geng Blogger

Friday, October 21, 2011

Teaser - Tentang Cinta

Kalau ada yang bertanda tanya, cerpen apa agaknya saya tulis dalam novel  'Tentang Cinta'... maka di sini saya share sedikit cerita itu. Kalau nak tahu sambungannya kena beli la ya :P . Kedua cerpen ini mempunyai 'pesanan' yg cuba saya sampaikan kepada para 'pencinta cinta' di luar sana. Cerpen ini juga sangat istimewa untuk diri saya... :P  Kenapa istimewa? Baca la... hehe.. kalau nak tahu kenapa istimewa bagi diri saya.. lepas anda baca anda boleh tanya saya melalui email atau hantar pesanan kat inbox FB... kalau saya bagi tahu sekarang, tak ada suspen la... hehe.. Selamat membaca!!


Biarlah Hujan Berlalu

H
UJAN lebat mencurah. Orang ramai       tumpang berteduh di kaki lima kedai perabot Samad. Ada yang menunggu hujan berhenti sebelum menapak ke bangunan sebelah. Yang    membawa payung meredah hujan. Yang tidak kisah baju basah juga meredah. Tetapi Dania nekad biarlah hujan berlalu. Dia sanggup menunggu sehingga ke titisan terakhir.
Dania mengintai-intai ke hujung jalan, takut   jika dia terlepas bas. Hendak tunggu di hentian bas sudah penuh dengan orang ramai. Tadi Haris tawar hendak hantar, dia jual mahal. Sudahnya tersadai di tepi kedai. Dania membuka tas tangan, mengeluarkan novel yang masih belum selesai dibaca. Percintaan  dalam novel kadangkala memang tidak diterima akal tapi hendak buat macam mana, hanya kisah-kisah itu mampu menghiburkan hatinya yang lara. Mungkin cerita-cerita daripada novel dapat membantu dia membuat keputusan. Mungkin.
Sedang asyik Dania melayan kisah romantis,   telinganya menangkap bunyi hon kereta yang     membingitkan telinganya.
Dania menjenguk. ‘Apa hal pemandu tu nak parking kereta dia kat situ? Kena langgar dengan bas nanti, padan muka!’ bebel Dania lantas kembali     menatap novel yang baru dibeli semalam.
Kereta tadi terus membunyikan hon.          Pembacaan Dania sekali lagi terganggu. “Apa masalah kereta tu?” tegur Dania tanpa mengharap jawapan    daripada sesiapa.
“Dia panggil orang tu,” seorang wanita tua membalas. Mencebik. Mungkin sudah naik             menyampah dengan pemilik kereta tersebut.
Dania kembali melihat kereta itu. Dahinya tiba-tiba berkerut. Haris? Serentak itu Dania mencari      telefon bimbit di dalam beg tangannya. Ada sepuluh miss call? Tiba-tiba telefon di tangan berbunyi. Dania menekan butang hijau.
“Saya tak akan bergerak selagi awak tak masuk!” terdengar suara tegas Haris sebaik-baik panggilannya bersambut.
Dania mendengus kasar. Dia ingat aku ni apa? Sesuka hati nak mengarah! Biarkan. Kalau bas datang, dia kena halau. Dania terus membatu di situ. Melihat sejauh mana Haris nekad membunyikan hon kereta. Dania membetulkan tudungnya yang ditiup angin. Kemudian, kembali menatap novel di tangan.
Sepuluh minit berlalu. Hujan mula renyai.     Tetapi hon kereta Haris masih garang berbunyi. Orang ramai mula kelihatan resah tetapi masing-masing tidak berani memarahi pemilik kereta BMW itu. Akhirnya, Dania mengalah. Demi kesejahteraan masyarakat!
“Degillah awak ni,” marah Haris sebaik-baik   sahaja Dania melabuh punggungnya. Namun tidak sampai beberapa saat, bibir Haris mengukir              senyuman. “Maaf, saya tak sampai hati tengok awak balik dalam hujan,” Haris bersuara lembut.
Dania diam. Bukan dia yang degil tetapi Haris yang berpuluh kali ganda lebih degil daripada dia.
“Sayang…” panggil Haris setelah melihat Dania berdiam diri. Kereta hitam itu dipandu perlahan.   Tangan kirinya menggenggam erat jari-jemari Dania. “Tolong jangan diam… boleh sakit jiwa saya.” Haris mencium lembut tangan Dania.
Dania menoleh. Sebak di hatinya ditahan.     Perlahan dia menarik tangannya daripada genggaman Haris. Sungguh dia cintakan lelaki itu, cinta pandang pertama. Tetapi dia tidak pernah mengungkapkannya. Teringat kembali saat kali pertama dia melihat wajah Haris. Hari pertama dia melaporkan diri di syarikat itu. Hatinya terdetik bahawa Haris akan membawa masalah dalam hidupnya dan ternyata lintasan         hatinya benar.
Haris, pengurus di tempat kerjanya. Pada hari pertama Dania mula bekerja, Haris sudah mengedik cuba memancing hatinya. Namun Dania sedar. Dia tidak layak untuk Haris. Gadis kampung yang serba kekurangan. Kerap Dania menolak pelawaan Haris namun Haris tidak pernah mengalah.
Malah tanpa kerelaan Dania, lelaki tampan itu melayan Dania seperti kekasih. Membeli makanan pagi dan tengah hari, membeli buah tangan setiap kali dia bekerja di luar kawasan. Sering bertanya   khabar. Mengambil berat tentang Dania. Lagaknya seperti betul-betul dia kekasih Dania walau Dania   sendiri tidak pernah mengiktiraf status perhubungan mereka.
Tanpa segan Haris mengaku yang dia memilih Dania bekerja kerana tertarik melihat gambar Dania pada resume. Katanya, hatinya berdegup melihat gambar Dania apatah lagi saat kali pertama bertemu dengan Dania. Hatinya gugup. Dan Dania yakin Haris berkata benar. Dia sendiri dapat melihat betapa      gugupnya Haris pada hari itu.
“Kan saya dah cakap, saya tak mahu awak     hantar saya lagi. Saya boleh balik sendiri.” Akhirnya, Dania bersuara. Cair melihat renungan manja Haris. Haris memang pandai menggunakan kelebihan yang dia ada.
Haris tersenyum. “Saya tak kisah kalau awak nak membebel apa pun… saya sudi dengar. Asalkan awak sudi bercakap dengan saya.”
Dania menarik wajah masam. Haris, memang sweet talker! Apa-apa sahaja yang diucapkannya mampu mencairkan gunung salji di hati Dania. Tuhan kuatkan hati aku. Bisik hati Dania.

 ***********************

Sihir Cinta

A
NGIN semilir dari Laut China Selatan        menyapa lembut pipi Khalisa yang mulus. Dua pasang mata bundar milik gadis sunti itu terus-menerus memandang hamparan lautan mem-biru yang tidak berpenghujung. Nun di sana di tepi jeti, kelihatan sampan-sampan kecil bergolang-golek menari mengikut rentak ombak yang memukul   manja. Sama seperti jiwanya yang sedang berbolak-balik. Dia semakin lemas dalam dilema yang            diciptakan untuknya. Ada keluhan berat lahir          daripada menungannya itu.
Dua minggu yang lalu, dia bebas ketawa.        Menyakat rakan-rakan. Menyanyi apa-apa sahaja   irama yang terlintas dalam fikiran. Tetapi kini, semua itu sungguh payah untuk dilakukan. Mulutnya terasa sungguh berat untuk dibuka. Seperti sudah dipateri kemas. Hatinya menjadi dingin. Sedingin salji di     Kutub Utara yang mencecah suhu beku 50 darjah  celcius!
Semua ini gara-gara arahan ayahnya, Solihin.  Tidak masuk dek akal langsung! Dalam usia 23 tahun dan sedang belajar disuruh kahwin? Kalau dengan  lelaki sebaya, mungkin dia boleh terima. Tetapi…
“Tapi apa lagi, Lisa? Ayah dah sediakan jodoh yang terbaik untuk Lisa.” Encik Solihin merenung lembut wajah anak gadisnya.
“Jodoh terbaik apa kalau macam tu! Orang tua tak sedar diri!” Muncung Lisa semakin ke depan.     Wajah ayah langsung tidak dipandang.
“Lisa… tak baik cakap macam tu. Itu bakal      tunang Lisa,” emak pula menyampuk setelah melihat kata-kata ayah langsung tidak berbekas di hati si anak.
“Mak tak sayang Lisa ke?” Khalisa merenung    wajah emaknya memohon belas. “Cuba mak tengok wajah anak mak yang comel ni… sanggup mak       serahkan Lisa pada lelaki yang hampir sebaya dengan mak?” nada suara Lisa sedikit meninggi.
“Sekurang-kurangnya kalau kahwin dengan      lelaki lebih tua, terjamin masa depan, semua sudah tersedia. Lebih-lebih kalau perempuan macam Lisa ni, boleh dia ajar sikit Lisa yang keras kepala ni,” Azimah menjawab dengan selamba.
Khalisa mencebik. “Kalau ya pun demi masa   depan Lisa… bagilah Lisa habiskan belajar dulu. Ada setahun sahaja lagi.” Suara Lisa sedikit mengendur. Dia amat berharap agar ayah dan emaknya            menangguhkan dulu cadangan gila itu.
Solihin pantas mengeleng. Mana boleh! Janji     tetap janji. Lagipun dia tidak sampai hati menolak permintaan Pak Cik Kamil yang banyak berjasa    dengan keluarganya. Walaupun dia tidak rapat     dengan Farhan kerana lelaki itu menetap lama di luar negara, tetapi Solihin yakin anak bongsu Pak Cik  Kamil itu baik orangnya. Kalau tidak, masakan Pak Cik Kamil berani menjodohkan Khalisa dengan  anaknya. Pak Cik Kamil warak orangnya. Budi        bahasanya cukup tinggi. Ilmu agamanya pula tidak perlu dipertikaikan lagi. Dia sangat yakin dengan    keputusan Pak Cik Kamil.
“Sebab ada setahunlah ayah nak kamu ber-tunang dulu. Pertengahan tahun ini, kamu nikah.    Beberapa bulan lepas tu dah habis belajar.” Solihin  tetap tegas dengan keputusannya.
“Ayah sedar tak apa yang ayah cakap ni?    Sampai hati ayah nak jodohkan Lisa dengan lelaki tua tu!”    Lisa berang. Wajah putihnya mula kemerahan.
“Wei… Lisa! Kau ni kenapa? Sejak akhir-akhir ni asyik termenung dan mengeluh aje! Kalau ada        masalah cakaplah,” tegur Izzah sekali gus menghalau lamunan Khalisa sejauh mungkin.
Khalisa mengeluh lagi. Pandangannya kosong merenung lautan yang membiru. Dugaan apakah ini? Apakah hikmahnya untuk aku? Hati Khalisa merintih hiba.
“Wei!” jerkah Izzah membuntang matanya    memandang Khalisa. “Cakaplah! Sejak kau balik      daripada cuti ni… semacam aje aku tengok.”
Pandangan mata Khalisa berkalih kepada Izzah. “Nah. Tengok ni.” Khalisa menunjukkan tangan      kanannya betul-betul di depan mata Izzah.
Wajah Izzah berkerut, matanya terkedip-kedip memandang sinar pada jari manis Khalisa. “Wah,    besarnya!” Mata Izzah membulat memandang wajah Khalisa. “Batu apa ni? Kerikil ke?”
“Sejak bila kau buta ni?” Khalisa menarik       tangannya daripada menjadi mangsa tilikan Izzah.
“Sini… aku nak tengok. Aku bukan kenal pun  batu permata ni. Kalau batu-batu tepi jalan aku        tahulah.” Izzah menarik tangan Khalisa. “Kau beli di mana ni? Pasar malam ke? Tapi cantiklah, aku nak   beli juga,” omel Izzah sambil membelek cincin emas putih bertatah berlian milik Khalisa.
“Pasar malam? Kalau cincin macam ni ada jual kat pasar malam, confirm dah lama licin!” Khalisa   turut sama melihat Izzah membelek dan menggosok-gosok cincin di jari manisnya.
“Wei… buka kejap, aku nak cuba. Mesti padan dengan aku ni.” Izzah tersengih-sengih teruja melihat cincin baru Khalisa.
Tanpa menunggu panjang, Khalisa mencabut cincin pertunangannya lalu dihulurkan kepada Izzah. “Pakailah selama mana kau nak,” ujar Khalisa        bersahaja. Seolah-olah cincin itu tidak memberi       sebarang makna kepadanya.
“Oh… cantiknya. Terletak elok. Tiba-tiba tangan aku jadi cantik,” puji Izzah sambil membelek jari-jemarinya. Dia sungguh terpikat dengan reka bentuk cincin itu yang mempunyai ciri-ciri klasik dan moden. “Erkk… betul kau bagi aku?”
“Kalau boleh, memang aku nak bagi kau pun…”
“Tapi?” soal Izzah.
Khalisa mengeluh kasar. Bibir bawahnya digigit manja. Berat sungguh untuk dia membuka mulut dan menjelaskan kepada Izzah tentang masalahnya. Dia bimbang Izzah ketawakan dia dan tuduh dia gatal. Usia baru 23 tahun tapi sudah gatal bertunang!
“Itu cincin pertunangan aku.” Perlahan suara Khalisa namun cukup jelas di telinga Izzah.
“Apa? Tunang! Kau biar betul! Takkan kerana Zakuan tinggalkan kau…”
“Tak ada kena-mengena dengan Zakuan!” cantas Khalisa.
“Habis tu, kenapa kau tiba-tiba bertunang?” Izzah tidak puas hati. “Sudahlah tak jemput aku!” Izzah mencebik. Cincin dilucutkan lalu dihulurkan kepada Khalisa.
Sorry… aku tak sangka yang aku akan           bertunang.” Wajah Khalisa mula keruh. Rasa bersalah mencakar-cakar tangkai hatinya.
“Maksud kau?”
“Aku dipaksa dan terpaksa,” perlahan Khalisa bersuara.
Kepalanya menunduk memandang pasir pantai yang memutih. Kakinya yang tidak beralas menguis-nguis pasir pantai yang halus dan lembut. Terasa     sejuk tatkala pasir pantai yang lembap mencium     kakinya

2 comments:

Lolozh04 said...

Huwaaaa...pinky goda lagi huhuhu....hehhehehe:)

Juliaesqa said...

hehe... dah order ke?